Buta Tuli


“Amir boleh belikan ibu ubat, terasa datang pula sakit dada ibu. Ubat ibu sudah habis.” Kata Ibu Mariam. 

“Nanti Amir usahakan ya ibu. Tapi hujan lebat sangat dan agak tebal pula kabusnya. Amir pun masih belum ingat sangat jalan ke pekan.” Balas Amir kepada ibunya. 

“Kalau begitu Amir ikut sahaja lampu kereta dihadapan, mungkin boleh dijadikan sebagai arah tuju ke pekan nanti.” Cadang ibunya. 

“Baiklah ibu, tapi mungkin Amir sampai lewat sedikit.” 

Tanpa berfikir panjang Amir mengambil kunci keretanya, lalu mengekori sebuah kereta. Sepanjang perjalanan segala gerak geri kereta dihadapan, diikuti seratus peratus. Apabila kereta dihadapan membelok ke kanan, maka dia akan belok ke kanan dan begitulah sebaliknya. 

“Kalau begini, rasanya sekejap lagi sampailah ke pekan.” Bisik hatinya. 

Keadaan kabus semakin lama semakin berkurang, mungkin sebabnya hujan sebelum itu semakin kurang lebat. 

Namun demikian, atas sikap membuta tuli Amir masih mengikuti gerak-geri kereta dihadapannya seratus peratus, walhal dia sudah dapat melihat papan tanda rujukan jalan raya. 

Tidak lama kemudian kereta dihadapannya semakin perlahan dan kemudian berhenti, lalu lampu belakangnya pun dipadamkan. 

Amir keluar dari keretanya lalu bertanya, “kenapa encik berhenti? Kita belum sampai ke pekan lagi”. 

“Saya nak pulang ke rumah saya, bukan pergi pekan dan kenapa saudara mengekori saya?" Tanya pemuda yang diekori. 

“Saya minta maaf encik, saya ingatkan encik hendak ke pekan. Jadi saya mengekori encik dengan harapan saya sampai ke pekan nanti.” Balasnya. 

Amir menepuk dahi atas kebodohannya.


Pesan Mil : 
Bila baca entri di atas, mungkin para pembaca sudah memahami apa yang mil ingin sampaikan. Kadangkala apabila kita merujuk sesuatu sama ada dalam menuntut ilmu ataupun mengikuti sesuatu fahaman. Kita akan mengikutinya seratus peratus tanpa mengambil peduli dari mana datangnya sumber yang kita perolehi itu. Sama ada langkah kita itu betul atau tidak, persoalannya apakah kita memahami atau sekadar mengikuti?. Orang seringkali menyebut, manusia ini tidak sempurna dan akan selalu melakukan kesilapan, jadi melalui kesilapan itu mereka memperbaiki diri. Tetapi hakikatnya, jika melakukan sesuatu tanpa sebuah kesedaran dan pemahaman maka samalah juga seorang yang celik mata tapi buta hatinya.

*Nota : Bagi yang pulang ke kampung sempena raya ini, berhati-hatilah semasa memandu ya, jangan pandu laju-laju, biar lambat sampai, asal kita selamat tiba. 

Renungan di Bulan Ramadhan & Salam Lebaran.
Think it, Use it ^^ Jangan simpan

39 Orang Pengkritik:

;